Pokok Pisang Kipas
Pokok Pisang Kipas

Pokok Pisang Kipas

Pokok Pisang Kipas (bahasa Inggeris: Traveller's Palm) merupakan sejenis pokok yang berasal daripada Madagascar. Pokok ini digelar sebegini kerana ia berbentuk kipas dan daunnya kelihatan seperti daun pisang. Walaupun pokok ini digelar "Traveller's Palm" dalam bahasa Inggeris, ia sebenarnya bukan pokok palma (keluarga Arecaceae) tetapi tergolong dalam famili pisang dalam pengelasan lama dan dalam (Strelitziaceae) bagi pengelasan baru. Pokok ini digelar sedemikian dalam bahasa Inggeris kerana pelepahnya menakung air yang boleh diguna sewaktu kecemasan. Air ini juga pernah dijadikan minuman oleh pengembara pada zaman dahulu.[1]. Satu lagi penjelasan yang mungkin adalah ia tumbuh secara semulajadi dalam kedudukan barat-timur, membentuk kompas kasar.[2] Ravenala madagascariensis merupakan ahli tunggal dalam genus ini dan berkait rapat dengan genus Afrika Selatan Strelitzia dan genus Amerika Selatan Phenakospermum. Sesetengah pengelasan dahulu turut memasukkan genera ini dalam keluarga (Musaceae) pisang. Sungguhpun ia biasanya dianggap spesies tunggal, empat bentuk berbeza telah dibezakan.[3][4]Tingginya Pokok Pisang Kipas 3 meter hingga 9 meter dan batangnya kukuh. Pelepahnya bertindih-tindih dan keluar dari kiri dan kanan batang dengan daun yang mempunyai tetulang. Pokok ini tidak berbunga kecuali di tempat asalnya kerana perbezaan iklim. Sulur tumbuh daripada bahagian pangkal pokok induk. Akarnya jenis merayap. Pokok ini boleh dijadikan tanaman hiasan.